Monday 1 April 2013

Minggu 5 (1)- Penggunaan Bahasa Slanga-


Salam sejahtera,

Topik saya kali ini ialah bahasa slanga.

Menurut Kamus Dewan, bahasa slanga didefinisikan sebagai "kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi". 

Menurut “The Oxford Companion to the English Language” oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain” iaitu ketidaktentuan sebenarnya.

 Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata “sling” iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeza dengan kata kosa kata lainnya.

Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.

Golongan remaja yang mempopularkan bahasa slanga selalunya memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut, contohnya mengancam, cun, cintan, balak, kacang, ayat, awek, pakwe, skima, jambu, sekodeng, member sound.

Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'.

Namun, pada hari ni penggunaan bahasa slanga semakin popular terutama pada era teknologi maklumat dan juga melalui penggunaan SMS seperti perkataan cikaro, usya, hampeh, kantoi, skema, meletup, poyo, kurengz, siot.

Jika bahasa slanga ini terus-terus digunakan oleh masyarakat kita, nilai bahasa Melayu akan menjadi semakin pudar. Hal ini demikian kerana, generasi akan datang akan menjadi keliru antara kosa kata bahasa Melayu yang betul dengan bahasa slanga memandangkan suatu ketika nanti bilangan yang menggunakan bahasa slanga semakin bertambah dan penggunaan bahasa Melayu yang betul akan semakin berkurangan.

Jadi, sebagai pejuang bahasa Melayu, apa usaha kita untuk mengatasi permasalahan ini? Tepuk dada tanya selera. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Kitalah yang menjadi pembentuk kepada generasi masa akan datang.

Sekian,

Cristine Teo

No comments:

Post a Comment