Sunday 31 March 2013

Minggu 4 (5)- Lagu Anak Kampung Versi Bahasa Melayu Sarawak

Salam sejahtera,

Pada masa ini, lagu Anak Kampung daripada Jimmy Palikat sangat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kini lagu anak kampung sudah ada dalam pelbagai versi seperti versi Kelantan dan versi Sarawak. Mari sama-sama dengar lagu Anak Kampung versi bahasa Melayu Sarawak. 

Lirik dalam bahasa Melayu Sarawak dan terjemahan dalam lirik asal:

Memang aku tok anak urang meskin
Memang aku ini anak orang miskin

Sik ada apa-apa yang dapat ku berik
Tiada apa-apa yang dapat kuberikan

Kitak nang kacak,
Engkau memang cantik

Nang sik ada yang dapat melawan
Memang tidak padan dan tidak sepadan



Aku anak kampung sik ada pelajaran
Aku anak kampung tiada pelajaran

jadi kuli ajak
Kuli-kuli sahaja

Nang sik padan
Memang tidak padan

Kacak bah kitak
Cantik bha kau itu

Banyak yang tergoda lagik urang kaya
Banyak yang tergoda lagi orang kaya



Sik ada keretaku embak kita jalan-jalan
Tiada keretaku bawa kau jalan-jalan

Rumah mek pun sikda adapun bapak mek mpun
Rumahku pun tiada adapun bapa punya

Apa lagik belanja maok bayar belian
Apa lagi belanja mau bayar berian 

Pakei kawin kita
Kahwin sama kamu



Bukannya kamek sik suka dengan kita
Bukannya ku tidak suka sama kamu

Tapi kamek takut idup kitak merinsak
Tapi aku takut hidup kau kan sengsara

Kerna kamek cinta kamek lepas kitak
Kerna aku cinta aku lepaskan kau

dengan orang lain
Sama orang lain



Kitak masih mudak
Engkau masih muda

Kacak lagi menawan
Cantik lagi menawan

Janganlah kitak carik laki kedak kamek
Janganlah kau cari lelaki macam saya

Kitak nang kacak
Engkau memang cantik

Kelak nyesal sik ada guna
Nanti kau menyesal tiada guna.


Sekian,

Cristine Teo




















Minggu 4 (4) - Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu piala TPM



Salam sejahtera,

Ini merupakan video pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu piala Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2009. Saya sungguh tertarik mendengar peserta ini berpidato. Tutur katanya tersusun, lemah lembut seperti selayaknya ciri-ciri bahasa Melayu itu walaupun sedikit kelihatan adanya percampuran  dengan dialek Melayu Indonesia.  Sungguh terharu bila masyarakat luar negara sangat tertarik untuk belajar bahasa Melayu dan mengambil jurusan bahasa Melayu sedangkan masyarakat Malaysia kini kian melupakan bahasa Melayu dengan cara menggunakan bahasa rojak iaitu mencampur-adukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dan juga langsung tidak bertutur dalam bahasa Melayu malah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian.


Sekian,

Cristine Teo

Minggu 4 (3)- Tidak tahu bahasa Melayu. Salah siapa?

Salam sejahtera,

Video ini mengenai masyarakat Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat tetapi tidak tahu bertutur dalam bahasa Ibunda. Sebilangan budak dalam video ini merupakan orang Melayu. Namun salah siapa mereka tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu? Sudah tentu salah kedua-dua ibu bapa mereka yang tidak mendidik mereka untuk mengenal bahasa Ibunda mereka sendiri. Berada di negara orang bukanlah alasan untuk tidak mempelajari bahasa Ibunda. Apakah yang akan terjadi sekiranya lebih ramai lagi masyarakat Malaysia yang merantau ke luar negara? Adakah penutur bahasa Melayu akan pupus suatu hari nanti dan Malaysia akan padat dengan rakyat Malaysia yang bertutur dalam bahasa Inggeris? 



Sekian,

Cristine Teo.

Minggu 4 (2)- Cintailah Bahasa Kita-

Salam sejahtera,

Video ini mengisahkan seorang lelaki  Melayu yang jatuh hati pada seorang wanita India walaupun pada akhirnya lelaki itu tahu bahawa wanita tersebut pekak dan bisu, namun mereka masih mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan komunikasi di atas kertas. Bahasa Melayu menyatukan hati mereka berdua. Sebab itulah di Malaysia terdapat ramai yang kahwin campuran iaitu perkahwinan antara dua kaum dan agama yang berbeza kerana sekurang-kurangnya kedua-dua belah pasangan mampu berkomunikasi menggunakan satu bahasa yang sama iaitu Bahasa Melayu!


Sekian,

Cristine Teo.

Minggu 4 (1)- Bahasa Rojak dalam Kalangan MasyarakatSekarang-

Salam sejahtera,

Video pendek ini mengisahkan seorang lelaki yang hanya tahu berbahasa cina tetapi tidak boleh berbahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu. Pada masa yang sama, lelaki itu cuba untuk memikat seorang rakan sekelasnya tetapi yang menjadi masalah ialah dia tidak tahu nama wanita itu.



Melalui pemerhatian saya, isu yang ingin diketengahkan oleh para pelakon dalam video ini ialah mengenai masalah yang mungkin timbul apabila kita sebagai rakyat Malaysia tidak tahu atau tidak fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Video ini sememangnya penuh dengan bahasa rojak, namun kapsyen yang ditulis dalam bahasa Melayu untuk menunjukkan maksud sebenar bagi setiap dialog dalam  bahasa rojak itu juga adalah kurang tepat kerana struktur ayatnya masih tidak tersusun malah terdapat kosa kata yang tidak tepat digunakan.

Contohnya pada minit 3.24:

Lelaki yang memegang watak Sharrun mengatakan:

"  Adalah...tadi dia tengah cerita...saya dah faham dah apa yang dia cakap tadi.."

Melalui pemerhatian saya sebelum itu, lelaki Cina tersebut bukannya bercerita dengan Sharrun tetapi sedang bertanyakan nama wanita tersebut.Tetapi Sharrun berkata bahawa lelaki tersebut 'bercerita' kepadanya.. Kemudian ayat "saya dah faham dah apa yang dia cakap tadi.." juga sebenarnya kurang tepat. Sharrun sepatutnya berkata " saya sebenarnya faham pertanyaan yang disampaikannya tadi."

Pada minit 6.33 juga saya mendapati kapsyen dalam bahasa Melayu juga kurang tepat.

" Inilah masanya dia mendapati nama perempuan itu."

Sepatutnya kapsyen yang betul ialah "Inilah waktunya dia mendapat tahu nama perempuan tersebut."

Sekian,

Cristine Teo

Sunday 24 March 2013

Minggu 3 (5) - Osman Baku-

Salam sejahtera,

Rancangan ini sangat bagus untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat agar kita sedar akan indahnya bahasa Melayu apabila dituturkan. Rancangan ini mengisahkan Osman yang memperjuangkan martabat bahasa Melayu.


Bahasa Jiwa Bangsa.

Sekian,

Cristine Teo

Minggu 3 (4) - Lagu guna bahasa Rojak-

Salam sejahtera,

Semakin lama, kini semakin ramai penyanyi mahupun pencipta lagu yang menyanyikan dan menghasilkan lagu yang menggunakan bahasa rojak. Menurut Kamus Dewan(1994:88), bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan oleh penuturnya. Contohnya, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dicampur-adukkan dalam satu ayat.

Di bawah, saya senaraikan beberapa lagu yang telah dikenal pasti menggunakan bahasa rojak.


Kantoi-Zee Avi


Be Mine- Tasha Manshahar


Pulanglah- Awi Rafael

Mungkin ada sesetengah pihak menganggap penggunaan bahasa rojak dalam lagu Melayu merupakan perkara yang kecil dan remeh, tetapi jika dibiarkan boleh menjadi 'barah' dan merosakkan martabat bahasa Melayu.Walaupun penggunaan bahasa rojak sudah menjadi 'makanan' dalam kalangan generasi muda masa kini, namun ini tidak boleh dijadikan alasan oleh penggiat seni untuk mengambil kesempatan dan menggunakan bahasa rojak dalam karya mereka.

Sama-samalah kita memartabatkan bahasa Melayu!

Sekian,

Cristine Teo

Minggu 3 (3)- Anak pak cik di mana?-


Salam sejahtera,

Sebentar tadi, seorang sahabat saya bercerita mengenai sebuah kisah lucu yang pernah diceritakan kepadanya sebelum ini. Kisah tersebut berkisar tentang perbualan antara seorang mahasiswa dengan seorang pengemis tua.

Seorang mahasiswa sedang asyik berbicara dengan seorang pengemis tua di depan kampus sebuah universiti.

Mahasiswa : Sudah lama pak cik jadi macam ini?

Pak cik : Ya, lebih kurang 8 tahun, nak. 


Mahasiswa : Wah! Dah lama juga ya pak cik. Sehari biasanya dapat berapa pak cik? 


Pak cik : Dapatlah sekurang-kurangnya RM50. 


Mahasiswa : Banyak juga, pakcik. Anak-anak pak cik di mana?

Pak cik : Anak pakcik ada 3 orang. Pertama kat UPM, yang kedua kat UUM dan ketiga kat USM.

Mahasiswa : Bagusnya anak-anak pak cik. Boleh tahan! Semua ambil jurusan yang sama ke? 


Pak cik : Ya, semuanya mengemis macam pak cik ni.

Mungkin pertanyaan mahasiswa tersebut iaitu ‘anak pak cik di mana’ itu terlalu umum sehingga menyebabkan pak cik tersebut juga menjawab soalan tersebut secara umum juga atau mahasiswa tersebut sepatutnya bertanya begini:

Anak-anak pak cik masih belajar atau sudah bekerja? Kalau masih belajar, belajar di mana? Kalau sudah bekerja, bekerja di mana dan apakah pekerjaan mereka?

Lengkap atau tidak jika bertanya seperti ini? ^_^

Sekian,

Cristine Teo

Minggu 3 (2) -Kambing Hitam atau Kambing Putih-


Salam sejahtera,

Sebentar tadi saya membaca sebuah kisah lucu dalam sebuah blog yang mengisahkan tentang perbualan antara seorang pengembala kambing dengan seorang pemuda :

Seorang gembala sedang menggembalakan biri-birinya yang berbulu hitam dan berbulu putih. Dia kemudian didatangi seorang pemuda lalu bertanya:

Pemuda : "Baguskah ternakan biri-biri engkau. Boleh tak
saya tanya beberapa soalan?"

Gembala : "Oh, boleh saja"
Pemuda : "Berapa jauh biri-biri ni berjalan setiap hari?"
Gembala : "Yang mana, yang putih atau yang hitam?"
Pemuda : "Yang putih"
Gembala :"Ah, yang putih berjalan lebih kurang enam kilometer setiap hari"
Pemuda : "Dan yang hitam?"
Gembala : "Yang hitam pun sama."
Pemuda : "Dan berapa banyak rumput mereka makan setiap hari?"
Gembala : "Yang mana, yang putih atau yang hitam?"
Pemuda : "Yang putih."
Gembala : "Ah, yang putih makan lebih kurang empat kilo rumput setiap hari."
Pemuda : "Dan yang hitam?"
Gembala : "Yang hitam pun sama."
Pemuda : "Dan berapa banyak bulu yang mereka hasilkan setiap tahun?"
Gembala : "Yang mana, yang putih atau yang hitam?"
Pemuda : "Yang putih."
Gembala : "Aaa...menurut perkiraan saya, yang putih menghasilkan sekitar enam kilo bulu setiap tahun kalau mereka dicukur."
Pemuda : "Dan yang hitam?"
Gembala : "Yang hitam pun sama.
Pemuda : (Dengan perasaan geram ) "Kenapa engkau membezakan biri-biri engkau yang putih dengan yang hitam setiap kali nak jawab soalan saya, padahal jawapan semuanya sama saja"
Gembala :"Mestilah saya beza-bezakan sebab biri-biri yang putih itu adalah milik saya."
Pemuda : "Ooo, begitu, fahamlah saya,kalau yang hitam tu pulak siapa punya?"
Gembala : "Yang hitam pun sama, saya punya juga"
Pemuda : (bengang, geleng kepala dan berlalu)

Setelah membaca perbualan di atas, saya mendapati si pengembala kambing tersebut seperti melihat adanya perbezaan antara kambing putih dan kambing hitam miliknya sedangkan kedua-dua jenis kambing tersebut tidak mempunyai sebarang perbezaan lain selain war
na. Si penggembala sebenarnya tidak perlu pun bertanya 'yang mana, hitam atau putih?' kepada si pemuda kerana hanya satu jawapan yang sama yang akan diberikan. 

Sekian,

Cristine Teo

Minggu 3 (1) -Novel Melayu atau Novel Inggeris?-

Salam sejahtera,

Saya merupakan seorang pembaca tegar bagi novel bahasa Melayu. Namun, sewaktu proses pembacaan saya, terdapat banyak bahasa rojak iaitu dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam novel yang saya baca. Saya tertanya-tanya sendiri, apakah novel bahasa Melayu akan rendah nilainya, tidak kelihatan menarik atau akan mendapat kurang perhatian daripada para pembaca sekiranya penulis novel tersebut menggunakan sepenuhnya perkataan dalam bahasa Melayu. Sedangkan bahasa Melayu mempunyai kosa-kata yang pelbagai dan menarik. Di bawah ini saya sertakan beberapa contoh ayat yang menggunakan bahasa rojak dalam novel Melayu yang saya baca.






Berdasarkan gambar-gambar di atas, saya yakin, ayat atau perkataan bahasa Inggeris yang telah digunakan ada kosa-katanya dalam bahasa Melayu. 

Kita semua tahu bahawa tahap penguasaan Inggeris masyarakat Malaysia agak rendah. Apabila kita tidak mampu untuk membaca novel Inggeris, sekurang-kurangnya kita akan dapat membaca novel Melayu memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda kita. Namun, apabila novel Melayu turut menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris, bagaimana dengan pembaca yang rendah kefahamannya terhadap perkataan Inggeris? Sudah tentu mereka terpaksa membelek kamus Inggeris-Melayu terlebih dahulu sebelum meneruskan pembacaannya lebih lanjut. Malah, ada juga pembaca yang terpaksa 'melompatkan' pembacaan mereka kerana agak memakan masa jika mereka cuba mencari makna sesuatu perkataan tersebut sewaktu proses pembacaan mereka.

Wahai penulis novel Melayu, sedarlah, hargailah keindahan nilai kosa-kata bahasa Melayu milik kita. Novel yang anda hasilkan tidak akan menjadi rendah kualitinya sekalipun anda menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Sedangkan penulis novel Inggeris tidak memasukkan atau menggunakan bahasa lain dalam novel yang mereka hasilkan. Mengapa pula kita tidak mampu berbuat sedemikian?

Sama-sama kita Martabatkan Bahasa Melayu milik kita!

Sekian,

Cristine Teo


Sunday 17 March 2013

Minggu 2 (5) - Rosak Bahasa


Salam sejahtera,

Saya merupakan salah seorang pengguna laman sosial iaitu FACEBOOK. Sebagai seorang pengguna FACEBOOK dan yang lebih penting lagi sebagai seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu, sudah tentu saya menjaga tatasusila saya dalam menghasilkan status-status terbaru saya dalam FACEBOOK. Tatasusila yang saya maksudkan di sini ialah seperti menggunakan bahasa Melayu yang betul, tidak menukar ejaan, dan hanya menggunakan singkatan yang telah difahami semua orang. Namun, kini, semakin ramai pengguna FACEBOOK yang menghasilkan status dalam FACEBOOK dengan bahasa Melayu yang dirosakkan. Apa yang saya maksudkan dengan ‘dirosakkan’? Sila lihat gambar di bawah:

Contoh individu yang merosakkan bahasa Melayu

Sebagai rakyat Malaysia yang menjadikan dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita sepatutnya mempertahankan dan mengagung-agungkan bahasa kebangsaan kita. Ingatlah bahawa bahasa yang kita gunakan melambangkan keperibadian kita. Jika bahasa yang kita gunakan baik, baiklah peribadi kita. Jika kita merosak-rosakkan bahasa Melayu kita, maka teruklah keperibadian kita. Bahasa itu cermin diri kita. Siapa lagi yang mempertahankan dan melindungi bahasa kebangsaan kita kalau bukan kita yang sebagai rakyat Malaysia ini? Bahasa Jiwa Bangsa.

Sekian,

Cristine Teo

Minggu 2 (4) - Pernah datang Malaysia?-


Salam sejahtera,

Setelah puas ‘memerah otak’ untuk menghasilkan entri baru dalam blog ini, saya tiba-tiba teringat akan cerita seorang sahabat saya yang juga berasal daripada Sarawak. Ceritanya seperti ini:

Ketika menaiki bas untuk pergi ke kampus, insan yang duduk di sebelah sahabat saya cuba untuk berbasa-basi dengan sahabat saya itu. Sememangnya, wajah-wajah orang Borneo iaitu masyarakat Sabah dan Sarawak senang untuk dikenal-pasti di sini. Tidak perlu diberitahu, orang sudah dapat menekanya. Insan tersebut bertanya kepada sahabat saya:

“ Pernah datang Malaysia sebelum ini?”

Sahabat saya tercengang. Cuba memahami maksud pertanyaan tersebut. Lalu dengan lembut, sahabat saya bertanya:

“ Maaf, boleh saya bertanya? Dulu, saya bukan di Malaysia ke? Sabah dan Sarawak bukan dalam Malaysia ke?”

Insan tersebut terpana seketika. Sahabat saya tidak pasti sama ada insan tersebut tidak faham akan konsep “Malaysia” dengan “Semenanjung Malaysia” atau sememangnya dia berfikiran bahawa Sabah dan Sarawak itu bukan dalam Malaysia. Insan tersebut sepatutnya bertanya:

“ Awak pernah datang ke Semenanjung Malaysia sebelum ini?”

Namun walau apapun, sebagai rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya kita perlu tahu perkara asas mengenai negara kita. Contohnya, negeri-negeri yang ada di dalam Malaysia dan bila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Hal ini demikian kerana, mungkin kita tidak berniat untuk melukakan hati orang lain, namun dek kerana kekurangan ilmu, kata-kata kita telah mengguris hati dan perasaan pihak lain.

Perhatian: Kisah ini bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak tetapi untuk dijadikan pengajaran kita bersama-sama.

Sekian,

Cristine Teo

Minggu 2 (3) - Ha'ah, benar, betul-


Salam sejahtera,

Di sini, saya ingin berkongsi sebuah kisah lawak seorang pelancong Australia yang melancong ke Malaysia. Kisah ini diperoleh daripada sebuah blog dengan carian ‘LAWAK BAHASA

Cerita bermula..

Seorang pelancong Australia kelihatan kebingungan ketika mencari sebuah restoran makanan Barat di Jalan Pasir. Tidak lama kemudian seorang budak kecil melintas di depannya. Tanpa berfikir panjang, dia cuba bertanya kepada budak kecil itu dengan bahasa Melayu yang ‘kucar- kacir’.

“Maaf dik, tumpang tanya. Apa betul ini Jalan Pasir?”

Budak kecil itu mengangguk sambil menjawab “ha’ah

Pelancong itu tidak faham akan perkataan ‘ha’ah’. Namun kerana budak kecil itu menganggukkan kepala, dia yakin bahawa jawapannya betul. Masih dalam kebingungan, melintaslah pula seorang remaja di depannya. Lalu sekali lagi dia bertanya:

“Maaf dik, tumpang tanya. Apa betul nama jalan ini ialah Jalan Pasir?”

Budak remaja itu mengangguk sambil menjawab, “Benar”.

Nampaknya pelancong itu tidak juga memahami perkataan ‘benar. Namun kerana budak remaja itu menganggukkan kepala, dia yakin yang jawapannya adalah betul. Masih dalam kebingungan, melintaslah pula seorang dewasa, lalu pelancong itu segera bertanya:

“Maaf encik, saya tumpang tanya, apa betul nama jalan ini Jalan Pasir?”

Orang dewasa itu mengangguk sambil menjawab, “Betul.

Akhirnya pelancong itu merasa puas tetapi masih kehairanan. Lalu, untuk menghapus rasa keraguannya, dia bertanya lagi:

“Saya keliru, tadi saya bertanya kepada seorang budak kecil. Tapi jawapannyaha’ah’. Lalu saya bertanya pula kepada seorang remaja muda dan jawapannya benar’. Akhir sekali, saya bertanya kepada encik dan encik menjawabbetul’. Tapi semuanya menganggukkan kepala. Sebenarnya mana yang betul?”

“Oh, itu maksudnya sama saja. Kalau yang menjawabha’ah, bererti latar belakang pendidikannya sekolah rendah sahaja, kalau yang menjawabbenar’, orang itu latar belakang pendidikannya pasti sekolah menengah, dan kalau yang menjawab ‘betul’, pastinya orang itu ada sarjana,” jawab orang dewasa itu.

“Jadi, anda tadi menjawabbetul’. Ini bererti anda seorang sarjana ya?” tanya pelancong itu lagi.

Orang dewasa itu terus mengangguk sambil menjawab, “ha’ah

Adakah pembaca faham akan maksud sebenar ayat terakhir di atas? Saya beri peluang kepada pembaca untuk mentafsir maksud ayat tersebut.

Memang tidak dinafikan bahasa Melayu kaya dengan kosa-kata tetapi saya tidak tahu pula adanya kasta (peringkat) dalam jawapan bahasa Melayu. Sangat lucu! Apapun, jangan malu untuk bertanya bila dah sesat jalan atau tidak tahu. Tidak rugi jika kita bertanya kerana dengan pertanyaan kita, mungkin orang lain juga boleh mendapat manfaatnya.


Sekian,

Cristine Teo

Minggu 2 (2) -Kasi turun ini kaplaa-


Salam sejahtera,

Saya tiba-tiba teringat satu babak dalam lawak Senario yang berkaitan dengan ‘TURUN INI KAPLAA’ . Seingat saya, kisahnya seperti ini…

Sekumpulan gengster berbangsa India telah menculik isteri seorang pemuda Melayu. Pemuda tersebut sedaya-upaya merayu agar isterinya dibebaskan. Ketua gangster tersebut bersetuju untuk melepaskan isteri pemuda tersebut dengan syarat-syarat tertentu. Pemuda tersebut mendengar dengan penuh berhati-hati semua syarat yang telah dinyatakan. Setelah itu, ketua gangster tersebut pun berkata:

“ Kalau you setuju sama saya punya syarat, you  kasi turun ini kaplaa…”

Pemuda tersebut tercengang. Tidak memahami maksud yang ingin disampaikan oleh ketua gengster tersebut. Pemuda tersebut meminta ketua gangster itu mengulang semula kata-katanya. Lalu ketua gangster pun mengulang kata-katanya:

“ Aiyaaa….itu pun tidak fahamka?? Saya cakap kalau you setuju sama apa saya mahu, you kasi turun ini kaplaa laa..” sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Lalu pemuda itu hanya senyum. Sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Rasa-rasanya, pembaca tahu tak maksud “KASI TURUN INI KAPLAA” ?

Maksudnya: Mengangguk kepala.

Ketua gangster tersebut sebenarnya menerangkan, jika pemuda tersebut bersetuju dengan syarat yang diutarakannya, pemuda tersebut harus menganggukkan kepala tanda setuju.

Perhatian: Kisah ini tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang mati. Kisah ini hanya petikan daripada babak  Lawak Senario yang pernah ditayangkan di kaca televisyen.

Sekian,

Cristine Teo

Saturday 16 March 2013

Minggu 2 (1)- Sama sebutan Lain Makna


Salam sejahtera,

Semalam, ketika saya berbual dengan rakan-rakan saya, saya mendapati terdapat beberapa perkataan dalam bahasa Melayu yang sama sebutannya dengan perkataan yang terdapat dalam bahasa Bisaya. Walau bagaimanapun, perkataan ini hanya berkongsi sebutan yang sama namun membawa makna yang berbeza. Di sini saya sertakan contoh-contoh perkataan dalam bahasa Melayu dan maksud perkataan tersebut dalam bahasa Bisaya.

1.      Suap (tindakan memasukkan sesuatu ke dalam mulut)
Maksud dalam bahasa Bisaya: esok

2.      Babak (bahagian daripada sesuatu lakonan)
Maksud dalam bahasa Bisaya : pecah

3.      Bawang (sejenis tumbuhan yang umbinya dimakan)
Maksud dalam bahasa Bisaya : sungai

4.      Tuntut (meminta dengan mendesak)
Maksud dalam bahasa Bisaya: cakap

5.      Adang (penyekat)
Maksud dalam bahasa Bisaya : Jangan

6.      Apung ( tidak tenggelam dalam air)
Maksud dalam bahasa Bisaya: Baki (yang tinggal)

7.      Kapal (bahtera, perahu besar)
Maksud dalam bahasa Bisaya : tebal

8.      Sadang (pintu)
Maksud dalam bahasa Bisaya : muat

9.      Sadak(condong)
Maksud dalam bahasa Bisaya: Ikan

10.  Sadu (terbaik, sejenis tumbuhan)
Maksud dalam bahasa Bisaya : Jauh

Sekian,

Cristine Teo

Sunday 10 March 2013

Minggu 1 (5) - Salah faham




Salam sejahtera,

Sudahkah anda menyaksikan video di atas? Video tersebut bukan sekadar hiburan semata-mata. Namun, terdapat pengajaran di sebalik video tersebut.

Pengajaran yang saya perolehi daripada video tersebut adalah:

1.                  Bersua muka untuk menyelesaikan masalah yang serius atau penting lebih baik daripada menggunakan media massa seperti ‘chatting’. Hal ini demikian kerana, media massa tidak dapat menzahirkan intonasi berdasarkan emosi kita sedangkan intonasi memainkan peranan dalam sesuatu perhubungan. Intonasi dapat menzahirkan kepribadian kita. Kita juga tidak dapat melihat kejujuran pihak kedua melalui ‘chatting’ kerana kita tidak dapat melihat ekspresi wajahnya. Mungkin sahaja dia mengatakan hal yang baik-baik dalam mesej ‘chatting’nya. Namun, sebaliknya berlaku di luar ‘chatting’ tersebut.

2.                  Bahasa yang kita gunakan sewaktu ber’chatting’ juga harus dijaga agar pihak yang membaca tidak salah faham dengan maksud yang ingin kita sampaikan.

Sekian,

Cristine Teo