Salam sejahtera,
Setelah puas ‘memerah otak’ untuk menghasilkan entri
baru dalam blog ini, saya tiba-tiba teringat akan cerita seorang sahabat saya
yang juga berasal daripada Sarawak. Ceritanya seperti ini:
Ketika menaiki bas untuk pergi ke kampus, insan yang
duduk di sebelah sahabat saya cuba untuk berbasa-basi dengan sahabat saya itu.
Sememangnya, wajah-wajah orang Borneo iaitu masyarakat Sabah dan Sarawak senang
untuk dikenal-pasti di sini. Tidak perlu diberitahu, orang sudah dapat
menekanya. Insan tersebut bertanya kepada sahabat saya:
“ Pernah datang Malaysia sebelum ini?”
Sahabat saya tercengang. Cuba memahami maksud
pertanyaan tersebut. Lalu dengan lembut, sahabat saya bertanya:
“ Maaf, boleh saya bertanya? Dulu, saya bukan di
Malaysia ke? Sabah dan Sarawak bukan dalam Malaysia ke?”
Insan tersebut terpana seketika. Sahabat saya tidak
pasti sama ada insan tersebut tidak faham akan konsep “Malaysia” dengan “Semenanjung
Malaysia” atau sememangnya dia berfikiran bahawa Sabah dan Sarawak itu bukan
dalam Malaysia. Insan tersebut sepatutnya bertanya:
“ Awak pernah datang ke Semenanjung Malaysia sebelum
ini?”
Namun walau apapun, sebagai rakyat Malaysia,
sekurang-kurangnya kita perlu tahu perkara asas mengenai negara kita.
Contohnya, negeri-negeri yang ada di dalam Malaysia dan bila Tanah Melayu
mendapat kemerdekaan. Hal ini demikian kerana, mungkin kita tidak berniat untuk
melukakan hati orang lain, namun dek kerana kekurangan ilmu, kata-kata kita
telah mengguris hati dan perasaan pihak lain.
Perhatian: Kisah ini bukan untuk menjatuhkan
mana-mana pihak tetapi untuk dijadikan pengajaran kita bersama-sama.
Sekian,
Cristine Teo
No comments:
Post a Comment